'DEMI ANAK BANGSA BERMINDA KELAS PERTAMA'









Thursday, November 11, 2010

SK(2)TBA CEMERLANG UPSR 2010

Kami Cemerlang UPSR 2010. Sebahagian guru dan murid-murid tahun enam yang telah berjaya meningkatkan prestasi UPSR 2010.






Tanggal 11.11.2010 adalah hari yang mendebarkan bagi semua murid tahun enam, ibu bapa dan para guru seluruh cerok rantau di bumi Malaysia kerana keputusan UPSR 2010 akan diumumkan. Bagi murid ia adalah perintis masa depan, bagi ibu bapa ia adalah harapan, bagi guru ia suatu kepuasan dan bagi sekolah ia suatu kebanggaan jika kecemerlangan dikecapi dalam keputusan yang dikeluarkan itu. 

Situasi yang sama turut melanda SK(2)TBA, debaran kencang menguasai seluruh tenaga pengajar di situ dan yang amat terasa guru yang ditugaskan mengambil keputusan tersebut iaitu Puan Azina dan Puan Nor Hidayu, apa tidaknya segala keputusan mereka akan ketahui dahulu berbanding guru lain. Tanpa diketahui rupanya guru besar, Encik Mohd Yunus Muhd Yusak lebih awal tiba untuk mengetahui keputusan tersebut dan di sini terbukti harapan menggunung beliau untuk melihat kejayaan murid-murid sekolah beliau.

Alhamdulillah, syukur akhirnya debaran guru-guru berakhir dengan perkhabaran gembira apabila dimaklumkan keputusan UPSR tahun 2010 lebih baik  berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 9% kepada 76.32% dan merupakan peratusan tertinggi bagi SK(2)TBA. Dua orang pelajar mendapat 5A iaitu Izian Syafiqah binti Mohammad Rosli dan Fattin Nadirah binti Kamarulzaini....TAHNIAH!!

Secara keseluruhannya, semua murid tahun enam 2010 menunjukkan prestasi membanggakan apabila peratusan kelulusan mengalami peningkatan yang begitu baik. Oleh itu, ucapan tahniah kepada seluruh murid tahun enam kerana membanggakan sekolah, memenuhi harapan ibu bapa dan kejayaan kepada diri anda sendiri serta kepada semua guru tahniah dan tahniah kerana segala kesungguhan dan pengorbanan anda adalah ' Demi Anak Bangsa Berminda Kelas Pertama'

Tahniah..Tahniah..dan..Tahniah... SK(2)TBA BOLEEEH!!!!

Sunday, October 31, 2010

LAWATAN SAMBIL BELAJAR - AKTIVITI SELEPAS UPSR

 Lawatan sambil belajar adalah aktiviti yang dilaksanaka selepas UPSR untuk murid tahun enam dalam memberi pendedahan kepada mereka tentang dunia luar di samping memberi suasana baru selepas berhempas pulas memberi penumpuan kepada peperiksaan sebelum ini. 

Keprihatinan terhadap keadaan tersebut, guru tahun enam yang terdiri daripada Puan Nur Hidayu, Puan Aleena, Puan Azina dan Puan Arizaini telah berusaha dan berjaya mengadakan satu program lawatan ke Kilang Beryl's, Royal Selangor Pewter dan Kraftangan Malaysia pada 21 Oktober 2010. Program ini mendapat sambutan yang membanggakan daripada murid tahun enam malah kedapatan ibu bapa yang menyokong sepenuhnya program lawatan yang dilaksanakan.

Dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan hubungan guru dan murid malah ia dilihat sebagai hadiah terakhir guru buat murid yang akan ke sekolah menengah kelak. Apapun impak, yang pasti aktiviti sebegini harus diteruskan dalam memberi dimensi dalam minda murid agar lebih peka kepada persekitaran.

 Lawatan ke Kilang Beryl's, telah mendedahkan murid dengan cara pembuatan coklat dengan lebih khusus apatah lagi sebelum ini mereka hanya tahu membeli dan kemudian makan. Tetapi apabila mereka diberi taklimat berkaitan pembuatan coklat sekurang-kurangnya mereka mendapat sedikit input atau tambah nilai sebagai ilmu baru dalam kehidupan mereka.

 Begitu juga lawatan ke Royal Selangor Pewter telah mendedahkan murid dengan pembuatan barangan daripada pewter dan cara bagaimana barangan dihasilkan dengan lebih dekat. Situasi ini juga memberi maklumat baru kepada murid tentang hal berkaitan.






 Malah, lawatan ke Kraftangan Malaysia juga memberi suatu pengalaman baru kepada murid tentang penghasilan kraftangan, bagaimana dihasilkan dan yang paling menarik murid juga berkesempatan untuk menghasilkan corak batik mengikut kretiviti tersediri.











 Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah dapat menjadi anjakan baru kepada murid untuk lebih mengambil tahu tentang apa yang berlaku dalam persekitaran dan berusaha untuk mencari sesuatu yang baru dalam menterjemahkan dalam kehidupan harian agak lebih bermakna.


Untuk melihat suasana lawatan melalui gambar-gambar yang telah dirakamkan anda bolehlah mengunjung link di bawah ini.


  

Sunday, October 24, 2010

KEM BESTARI SOLAT SIRI 4

Kem Bestari Solat (KBS) melabuhkan tirainya untuk tahun 2010 dengan jayanya apabila berakhirnya siri 4. Umum tahu dengan adanya KBS telah membantu murid-murid sekolah rendah dengan asas yang lebih baik dalam ilmu fardhu ain khasnya. Pengisian KBS digubal dengan rapi di samping perlaksanaan yang berkesan oleh guru-guru j-QAF terutamanya dan dibantu oleh guru biasa telah memberi impak positif ke arah pembentukan insan yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Peranan yang dimainkan oleh guru-guru j-QAF telah sedikit sebanyak membantu ibu bapa khususnya dalam soal pengajaran dan pembelajaran berkaitan keagamaan. Kelangsungan inilah hari ini murid-murid sekolah rendah berkeupayaan khatam al-Quran dalam usia muda. 

Program KBS ini yang dilaksanakan pada hari cuti sekolah adalah untuk memberi murid lebih masa dalam mendengar teori dan melaksanakan praktikal secara sistematik. 

Menurut Ustaz Zharuddin, sebelum ini boleh dikatakan kebanyakan murid kecuali yang menghadiri kelas agama, tidak tahu dalam melaksanakan sembahyang sama ada dari sudut perbuatan atau bacaan dalam sembahyang itu sendiri. Tetapi menurut beliau lagi, dengan adanya program yang sebegitu murni ini telah mengubah segalanya di mana kebanyakan murid sudah tahu yang mana sunat dan yang mana wajib dalam menunaikan Rukun Islam yang kedua itu.
Sehubungan itu, KBS ini juga telah berjaya melahirkan murid yang fasih dalam hafazan di samping dapat mendekatkan mereka dengan suruhan Allah. Pengisian daripada modul-modul yang begitu baik dan diterjemahkan dengan sesempurna yang mungkin oleh para guru j-QAF memberi sinar dalam kehidupan serta pembentukan sahsiah murid yang sempurna. 

Di sinilah penentu di mana mazmumah dipinggir dan mahmudah di kendong dan benarlah ' Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu sendiri mengubahnya'



Saturday, October 16, 2010

PERHIMPUNAN KEBANGSAAN GURU 1MALAYSIA : Guru Pemangkin 1MALAYSIA

Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia yang berlangsung di Stadium Putra , Bukit Jalil pada 16 Oktober 2010 adalah satu penghormatan yang begitu besar oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak terhadap profesion perguruan apatah lagi sehari selepas beliau membentangkan Bajet 2011 di Parlimen. Sememangnya ia suatu kewajaran memandangkan dalam intipati kandungan yang dibentang oleh beliau telah menyentuh tentang betapa pentingnya negara mempunyai aset yang terdiri daripada cerdik pandai berbanding negara yang hanya mengharapkan sumber asli semata-mata. Hal ini jelas menggambarkan bahawa modal insan adalah aset terpenting dalam pembentukan negara yang maju, cemerlang dan terbilang. 
Semua berdiri. Semua guru bersemangat menyanyikan lagu 1Malaysia dan Malaysia Berjaya.


Guru Pemangkin 1Malaysia. Tumpuan para guru terhadap ucapan yang disampaikan oleh PM.
Guru Pemangkin 1Malaysia adalah tema perhimpunan tersebut yang mewakili kira-kira 400 ribu guru di seluruh Malaysia yang berdiri teguh dan membulatkan tekad serta menjunjung azam melahirkan anak bangsa yang berminda kelas pertama sejajar dengan pembinaan modal insan yang akan meneruskan cita-cita negara menjadi negara maju 2020 bukan sahaja dari perspektif kemajuannya tetapi termasuk dari sudut sahsiah dan rohani yang terpimpin. Sebelum ini, dalam akhbar Berita Harian 30 Ogos 2009, memetik kata-kata Perdana Menteri ' tiada guna jika negara ramai cerdik pandai, hasil bumi yang banyak dan memiliki teknologi tinggi jika tidak berpaksikan pada kesatuan dan perpaduan'. Realistiknya kenyataan ini adalah gambaran jelas kepada kita bahawa modal insan yang baik mestilah mencakupi kesemua aspek rohani dan jasmani supaya ia seimbang agar perpaduan dapat diwujudkan dengan adanya nilai murni seperti hormat menghormati dan sebagainya ke arah perpaduan yang dapat mengukuhkan negara dan di sinilah guru dilihat sebagai penggerak yang paling efisien.
Penuh. Sokongan yang tidak berbelah  para guru terhadap kepimpinan kerajaan.

Dalam perhimpunan itu juga, PM telah mengulas secara terperinci berhubung pembentangan belanjawan yang melibatkan penjawat awam dan berjanji akan mengkaji secara terperinci cadangan skim gaji baru guru  yang dicadangkan sebelum ini memandangkan jumlah guru yang terlalu ramai jadi perincian perlu kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan yang besar. Antara kandungan Bajet 2011 yang melibatkan guru termasuklah elaun RM500 yang akan dimasukkan pada bulan Disember, cuti bersalin 90 hari, pinjaman perumahan sehingga RM400,000 dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan akan digantikan dengan modul yang lebih baik.
Sebahagian guru yang menghadiri  Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia. Dari kiri, Cik Ngien Len Nah, Puan Azina Puan Ramani dan Encik Mohd Alwi.

Perhimpunan ini adalah perjumpaan yang memberikan satu motivasi baru bagi guru untuk bergerak seiring dengan gagasan kerajaan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dan pada majlis itu juga sebuah sajak nukilan Haji Megat Md. Saleh bin Md. Arshad  yang bertajuk MEKAR WAWASAN- SUMPAH GURU 1MALAYSIA (Dedikasi Buat Para Guru Malaysia) diberikan kepada PM sebagai cenderahati dan sebagai janji 400 ribu guru Malaysia dalam usaha menjadi Pemangkin 1Malaysia. Perhimpunan turut diserikan dengan persembahan koir dari Maktab Perguruan Ilmu Khas dan nyanyian beramai-ramai lagu 1Malaysia dan lagu Malaysia Berjaya dan berakhir dengan laungan "Guru Malaysia Boleh"

KEMAHIRAN HIDUP: PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN (TEORI DAN PRAKTIK)

Sambutan yang menggalakkan. Kelihatan ramai murid sedang membeli makanan yang dijual di sekitar Tapak Perhimpunan Pagi.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran mengetengahkan kepelbagaian variasi pendekatan yang cuba diketengahkan dan diterjemahkan oleh guru bagi memudah cara murid-murid dalam memahami melalui penaakulan yang proaktif. Kesepaduan antara teori dan praktik sama ada ia melibatkan literasi dan numerasi sekalipun tidak menimbulkan masalah untuk murid memahami dan mempraktikkannya secara holistik. Analogi ini adalah bagi menggambarkan bahawa pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam persekitaran kelas sahaja namun ia perlu dilaksanakan di luar kelas agar murid lebih peka dan mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang dipelajari.


Laris. Kebanyakan makanan yang dijual habis dibeli.
Pendekatan ini telah direalisasikan oleh guru Kemahiran Hidup, Puan Aslina Arshad dengan melaksanakan aktiviti bercorak ' Perniagaan dan Keusahawanan' yang dilaksanakan di sekitar Tapak Perhimpunan Pagi dengan melibatkan murid tahun lima. Aktiviti ini berlangsung dari 11-15 Oktober 2010. Secara tidak langsung murid telah didedahkan dengan suasana perniagaan yang membolehkan mereka memikirkan kaedah terbaik dalam menjalankan sesuatu perniagaan dengan berkesan sama ada dalam skop pengajaran dan pembelajaran itu sendiri dan yang lebih penting apabila murid itu dapat menterjemahkannya dalam kehidupan di luar. 


Thursday, October 14, 2010

PENUTUP MINGGU PUSAT SUMBER DAN SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK 2010

Program 'Chicky Goes To School' antara yang mengisi slot Penutup Minggu Pusat Sumber dan Sambutan Hari Kanak-Kanak SK2TBA 2010
 Kemuncak Penutup Minggu Pusat Sumber dan Sambutan Hari Kanak-kanak berlangsung pada 13/10/2010 dengan suasana yang teramat meriah dengan pengisian yang begitu terancang dan komitmen terbaik yang diberikan oleh guru-guru dan penglibatan murid yang begitu memberangsangkan. Jika dilihat dari permulaan perancangan sehingga ke kemuncaknya kedapatan acara dan aktiviti yang terarah kepada penglibatan semua murid tahap satu dan dua dengan memusatkan ke arah semua bidang termasuk akademik, bakat dan wibawa murid. Impaknya, kecenderungan tersebut mempraktikan pembelajaran berpusatkan murid yang dioptimumkan di samping penambahbaikan spontan yang diterjemahkan oleh kalangan guru dalam memberi input terbaik kepada murid. Program dan sambutan ini sejak dari awal lagi bukanlah terarah kepada pelengkap takwim sekolah semata-mata tetapi sarat dengan  kepelbagaian tambah nilai untuk diri murid dengan menggabung jalinkan antara aktiviti yang melibatkan mental dan fizikal dengan menerapkan pemikiran kreatif dalam kotak pemikiran murid dan meniupkan semangat juang jika melibatkan aktiviti fizikal. Secara keseluruhannya, penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh semua warga sekolah menjadikan program yang pada mulanya dilihat sebagai pelengkap semata-mata berlaku sebaliknya apabila ia  dilihat antara program yang amat berjaya yang pernah dianjurkan sebelum ini. Syabas dan tahniah Warga SK2TBA.

Sunday, October 3, 2010

PERKHEMAHAN BADAN BERUNIFORM

Cikgu Abdul Halim (Kem Komanden) menegur sesuatu kepada seorang peserta program.
SK2TBA, 01 Oktober 2010, Aktiviti Perkhemahan Badan Beruniform berlangsung selama dua hari satu malam di Perkarangan Bangunan Baru SK2TBA. Penyertaan dan penglibatan murid amat menggalakkan. Badan Uniform tersebut terdiri daripada Pengakap, Bulan Sabit Merah, Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Puteri Islam dan Pandu Puteri Tunas. Menurut Kem Komanden, Cikgu Abdul Halim yang mewakili Encik Tan Eng Moo selaku peneraju program, berkata program ini adalah pelengkap kepada aktiviti selama ini dan beliau turut berasa amat gembira kerana program ini berjaya dilaksanakan dn tidak timbul sebarang permasalahan. Selaku Kem Komanden beliau turut berterima kasih kepada guru yang turut terlibat dalam menjayakan program yang memberi pendedahan kepada murid tentang disiplin, semangat setia kawan, tolong menolong dan sebagainya dalam melahirkan murid yang berketrampilan dari segi sahsiah dan berjiwa serta semangat waja, katanya.

Monday, September 20, 2010

UPSR 2010 - Gemilang SK2TBA

Kepada semua murid tahun 6 SK2TBA, moga UPSR tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Buatlah yang terbaik demi kejayaan diri lantaran kelangsungan kejayaan keluarga, bangsa dan negara. Bulatkan tekad dan nekad menggapai kejayaan gemilang kerana Rajin Usaha Bahagia itu panduan selamanya. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, sahut cabaran laungkan keinginan kerana yang susah pasti mudah sorotan bukan senang hendak senang dan bukan susah hendak susah. Pergunakan ilmu yang diajari, mohon restu doa ibu dan ayah suatu yang mesti insyallah berjaya anda di muka bumi dan akhirat nanti.

Thursday, September 9, 2010

Assalamualakum wbt, Kami warga Sekolah Kebangsaan (2) Tengku Bendahara Azman mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri  Maaf Zahir dan Batin kepada semua pelawat blog kami dan kepada muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Kepada semua barisan staf SK(2)TBA moga selamat dalam perjalanan pulang beraya dan kembali. Maaf Zahir dan Batin

Sunday, August 15, 2010

PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan disempurnakan oleh Encik Mohd Yunus bin Mohd Yusak selaku Guru Besar SK2TBA tepat jam 7.55 pagi 16 Ogos 2010 dengan gimik memotong riben yang mengikat gulungan kain rentang putih yang terpapar 'SAMBUTAN BULAN MERDEKA' dan diiringi lagu tema kemerdekaan. Selepas pelancaran tersebut yang dikelolakan oleh Puan Anira dan dibantu oleh guru-guru bertugas, sekolah turut dihias dengan bendera Malaysia di dinding-dinding kelas yang sepenuhnya dikendalikan oleh Encik Mohd Zahir bagi menginterpretasikan betapa warga sekolah bersungguh-sungguh ingin menyatakan kegembiraan dalam menyambut ketibaan KEMERDEKAAN Ke-53. Masing-masing menzahirkan kegembiraan kerana berada di bumi bertuah ini. Inilah Malaysia Tanah Tumpah Darahku. MERDEKA!!!

Wednesday, August 4, 2010

LENCANA SEKOLAH









Cogankata

“ Rajin, Usaha, Bahagia “
Mengemukakan fikiran bahawa melalui rajin dan usaha seseorang akan menjadi amanah dan taat setia dan kepuasan mencapai kejayaan.
Lambang

i) Matahari terbit -menggambarkan asas pengetahuan, bererti bersinar, bercahaya dan berguna seperti matahari.
ii) Buku -menunjukkan pelajaran.

iii) TBA bermaksud SK Tengku Bendahara Azman.

Warna dan Pengertian:

Warna biru tua dan biru muda ialah warna sekolah yang bermaksud bersatu hati dan hidup dalam muafakat.
Lapan jalur yang tegak dan lurus itu bermakna kemajuan murid-murid melalui pendidikan supaya mereka menjadi warganegara yang boleh dipercayai dan jujur kepada negara.

SEJARAH SEKOLAH

• Ditubuhkan pada 1966, yang dinamakan SRJK(1) Pandamaran.

• Menumpang sebelum berpindah ke bangunan sendiri pada 1968 dengan 20 bilik darjah.

• Tahun 1969 dibahagikan dua sekolah yang dikenali sebagai SRK2 Tengku Bendahara Azman.

• PIBG SK2TBA didaftarkan pada 14 Jun 1974.

• Tahun 1969, dibina dua blok bangunan 2 tingkat, sebuah pejabat dan bilik guru.

• Tahun 1972, dibina dua blok dengan 5 bilik darjah, 2 pejabat dan 1 dewan sementara.

• Tahun 1981, satu blok tambahan dengan dua bilik perpustakaan dan satu bilik klinik pergigian.

• Tahun 1985, tambahan satu blok dengan tiga bilik darjah.

• Tahun 2000, makmal komputer dibina.


Agihan Duit Raya ( Sekitar Program Khatam al-Quran)